Peringkat kedua Adat resam kahwin Melayu

Berandam dan berasah gigi

Berandam dan berasah gigi diamalkan pada zaman silam, bersama-sama istiadat yang berkenaan, tiga hari atau lebih sebelum hari akad nikah. Rambut pengantin perempuan di dahi serta bulu keningnya dipepat (seringnya, pengantin lelaki juga mengamalkan adat ini). Kemudian, gigi pengantin perempuan diasah dan dikilap supaya menjadikannya sama rata dan berkilat. Tugas ini dilakukan oleh seorang tukang andam yang juga merupakan "emak pengantin" (bukan ibu sebenar).

Bagaimanapun, amalan ini kini sudah lapuk, dan hanya adat berandam diamalkan oleh pengantin perempuan di kawasan luar bandar pada hari ini (pengantin lelaki tidak lagi mengamalkan adat ini), manakala orang bandar Melayu lebih suka menghantar bakal pengantin perempuan ke kedai solek yang banyak terdapat di semua bandar di Malaysia. Walaupun demikian, di kawasan-kawasan terpencil, masih terdapat orang Melayu yang mematuhi peribahasa, "Biar mati anak, jangan mati adat".

Selepas berandam, pengantin perempuan akan mandi dengan air sintuk-limau yang dianggap secara tradisi sebagai dapat menghapuskan nasib malang pada pengantin perempuan.

Selepas mandi istidat itu dan sebelum bakal pengantin perempuan tidur pada malam yang sama, sepuluh hujung jarinya dan pusat kedua-dua tapak tangan serta pinggir tapak kaki diinai dan dibiarkan kering sehingga pagi berikut. Ini adalah amalan berinai yang sebenar dan mendahului apa yang dikenali sebagai istiadat berinai.

Istiadat berinai

Istiadat berinai terdiri daripada tiga peringkat:

  1. Berinai curi diadakan pada waktu petang hari selepas hari yang tangan dan tapak kaki bakal pengantin perempuan diinai. Bakal pengantin perempuan dihiasi dan didudukkan di atas pelamin. Kaedah yang dihuraikan di bahagian Berinai besar dipatuhi.
  2. Berinai kecil yang diadakan pada waktu petang hari selepas hari berinai curi. Kaedahnya sama sahaja dengan berinai curi.
  3. Berinai besar.

Istiadat berinai besar

Ketika pengantin lelaki tiba di rumah pengantin perempuan dalam pakaian pengantin, dia didudukkan di atas pelamin yang terletak di hadapan sekumpulan tetamu (kebanyakannya wanita), saudara rapat, jiran, dan kawan keluarga pengantin perempuan. Di hadapan pengantin lelaki terletak sebuah dulang berkekaki yang besar yang mengandungi tiga buah pinggan, bersama-sama beberapa tangkai daun wangi. Pinggan-pinggan itu masing-masing mengandungi nasi kunyit, bertih, dan air daun setawar kisar. Di tengah dulang itu terletak selonggok pes inai.

Istiadat berinai besar bermula dengan para tetamu lelaki naik ke pelamin, satu demi satu, untuk membuang sedikit nasi kunyit pada sebelah kiri kanan pengantin lelaki. Perbuatan yang sama kemudian dilakukan dengan bertih. Ini diikuti oleh tangkai daun wangi yang dicelupkan ke dalam air daun setawar dan kemudian digunakan untuk menyentuh kedua-dua belakang tangan pengantin lelaki. Akhirnya, tetamu akan mengambil sedikit pes inai dari longgok di tengah dulang dan selepas meletakkannya pada daun sirih yang disediakan oleh emak pengantin, akan meletakkannya pada tapak tangan pengantin lelaki. Daun sirih itu bertujuan untuk mengelakkan mengotorkan tangan pengantin. Sejurus selepas ini, emak pengantin akan merapatkan kedua-dua tangan pengantin dan menaikkannya pada aras dada sebagai tanda menyembah kepada tetamu yang melakukan istiadat ini. Istiadat ini biasanya dilakukan oleh semua tetamu yang minat, tetapi bilangan mereka harus merupakan bilangan ganjil dan bukannya genap.

Ketika tetamu lelaki telah siap, para tetamu perempuan akan turut menjalankan istiadat ini dengan cara yang tepat sama. Selepas semua tetamu yang minat telah menjalankan istiadat ini, seorang wakil daripada kalangan tetamu lelaki akan ke depan untuk membaca doa selamat. Pengantin lelaki kemudian akan pulang ke rumah sendiri, dan pengantin perempuan turut didudukkan di atas pelamin untuk menjalankan istiadat yang sama. Istidat ini diakhiri seperti biasa dengan jamuan kari dan nasi.

Kenduri berinai besar adalah jauh lebih besar, berbanding dengan kenduri berinai curi dan kenduri berinai kecil. Selain itu, pengantin lelaki tidak terlibat dalam istiadat berinai di rumah pengantin perempuan bagi isitiadat berinai curi dan berinai kecil. Sesetengah pengantin lelaki Melayu pada zaman silam juga menjalankan istiadat berinai di rumah sendiri tetapi istiadat ini tidak lagi dijalankan.